PENGENALAN


PENGENALAN SOLAT

Sembahyang dari sudut ialah doa. Mengikut istilah syarak pula ialah perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam. Sebelum melakukan sembahyang, hendaklah bersuci terlebih dulu iaitu berwuduk.Sembahyang mula difardukan kepada umat Islam ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Islam sebagai agama tulen menjadikan sembahyang sebagai satu daripada rukunnya dengan mewajibkan setiap penganutnya mendirikan sembahyang lima kali sehari apabila cukup syaratnya.

Pengertian yang dikemukakan oleh ulama feqah ini hanya menggambarkan sembahyang lahiriah sahaja, sedangkan ulama tasauf pula menambahkan lagi definisi sembahyang ini dengan pengertian sembahyang yang batin. Tambahan yang mereka paparkan ialah:Menghadapkan jiwa kepada Allah SWT. secara yang boleh mendatangkan takut kepada-Nya serta menumbuhkan dalam jiwa rasa keagungan, kebesaran, kesempurnaan dan kekuasaan-Nya. Sebahagian ulama mendefinisikan roh sembahyang dengan perkataan:’Berharap kepada Allah SWT. dengan hati dan penuh kekhusyukan di hadapan-Nya, ikhlas dan menghadirkan hati dalam berzikir, berdoa dan memuji Allah SWT. ’Oleh itu apabila difahami dan dihayati pengertian sembahyang seperti yang tersebut di atas, maka nampaklah keindahan dan kecantikan sembahyang itu. Perhubungan sedemikian menepati matlamat asal kejadian insane iaitu untuk menyembah Allah SWT. 

HUKUM  SEMBAHYANG
Di dalam al-Quran banyak sekali ayat yang dapat dijadikan dalil tentang kewajipan sembahyang. Di bawah ini diperturunkan sebahagian daripada petikan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan kepentingan dan keperluan sembahyang.
“Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah daripada perbuatan jahat dan keji. ” (Al-Ankabut : 45)
“Peliharalah semua sembahyang dan sembahyang wusta (sembahyang yang paling baik) dan berdirilah kamu untuk Allah dalam keadaan khusyuk. ” (Al-Baqarah : 238)
“Islam didirikan atas lima dasar : Mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan puasa di dalam bulan Ramadan. ” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang” (Riwayat Bukhari)
Daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis tersebut, maka dapatlah disimpulkan bahawa hukum sembahyang itu wajib. Sesiapa yang tidak melakukannya adalah melakukan dosa besar. 



3 comments:

  1. Semuga kita dapat melakukan solat dengan sempurna

    ReplyDelete
  2. Maklumat yang berguna pada anak-anak beragama Islam,syabas.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih, kerana saya dapat berkongsi ilmu yang munafaat pada blog anda.

    ReplyDelete